Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak siap 90 peratus setakat Ogos – Sagah

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto Ukas

KUCHING, 19 Oktober: Pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) bernilai RM320 juta mencapai tahap 90 peratus siap setakat Ogos dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga 2027.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sebanyak 13 aktiviti di bawah Program Pengawasan Penyakit (DSP) SIDC telah dilaksanakan di kawasan selatan Sarawak dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.

“Aktiviti di Gedong Pangkor menandakan pelancaran makmal bergerak pertama SIDC. Program DSP juga akan diperluas ke lapan lokasi di Sarawak Tengah, termasuk Kapit, Sebauh dan Mukah, pada tahun depan bagi memperkukuh pengawasan penyakit serta intervensi kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sagah berkata SIDC turut memulakan kajian rintis farmakogenomik menggunakan teknologi penjujukan genom manusia PacBio bagi mengenal pasti varian genetik yang berkaitan dengan tindak balas buruk terhadap rawatan tuberkulosis atau batuk kering.

Beliau berkata kajian itu bertujuan menyokong pemberian rawatan antibiotik yang lebih bersasar berdasarkan profil genetik individu.

Sementara itu, Sagah berkata Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Terbuka Olimpik Robot Dunia (WRO) 2027 pada tahun depan.

“Ini merupakan pencapaian penting bagi Sarawak dan mencerminkan perkembangan berterusan ekosistem sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta robotik di negeri ini.

“Penganjuran Kejohanan Terbuka WRO 2027 akan membuka peluang kepada Sarawak untuk mengetengahkan bakat tempatan pada peringkat antarabangsa, selain mengalu-alukan penyertaan pelajar, pendidik, jurulatih dan peminat robotik dari seluruh dunia,” katanya. – Bernama