PETRA JAYA, 19 Oktober: Penubuhan cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak dijangka membuka peluang kepada negeri ini untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa menerusi akses kepada kemudahan penyelesaian pertikaian komersial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keyakinan pelabur terhadap perlindungan undang-undang merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan mereka untuk melabur dan mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, selain sistem mahkamah, pelabur memerlukan akses kepada platform penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang membolehkan pertikaian komersial ditangani dengan lebih mudah dan pantas.
“Kehadiran AIAC di Sarawak dijangka meningkatkan aktiviti dalam bidang perundangan antarabangsa, termasuk memberi peluang kepada peguam dan firma guaman antarabangsa memanfaatkan kemudahan berkenaan untuk menyelesaikan pertikaian komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pemeteraian perjanjian penubuhan cawangan AIAC di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Azalina berkata, cawangan berkenaan bukan sekadar pejabat biasa, sebaliknya berpotensi berperanan sebagai hab serantau bagi rantau Borneo.
Katanya, operasi AIAC Sarawak dijangka bermula tahun depan, tertakluk kepada proses pelaksanaan dan penyelarasan berkaitan. Pejabat itu bakal menjadi pejabat kedua institusi berkenaan selepas Kuala Lumpur.
Selain memperkukuh akses kepada penyelesaian pertikaian komersial, penubuhan cawangan itu turut membuka peluang untuk mewujudkan pekerjaan dan membangunkan bakat tempatan dalam bidang penyelesaian pertikaian berasaskan piawaian antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan pemilihan bangunan warisan sebagai lokasi pejabat berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha membawa aktiviti perundangan antarabangsa ke Sarawak.
Dalam pada itu, Azalina merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan negeri atas sokongan terhadap penubuhan cawangan AIAC di Sarawak.
Oleh Adele Rissa





