PETRA JAYA, 19 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Pertemuan itu antara lain memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam bidang perundangan serta reformasi institusi.
Majlis menandatangani perjanjian penubuhan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Malaysia (AIAC) Sarawak turut dijadualkan berlangsung tengah hari ini.
Penubuhan pusat itu dijangka menyediakan lebih banyak akses kepada perkhidmatan timbang tara dan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perniagaan.
Inisiatif berkenaan juga berpotensi menyokong usaha Sarawak menarik pelaburan serta memperkukuh persekitaran perniagaan negeri.
Oleh Shikin Mahmud




