KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Malaysia menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan kira-kira 50 anggota bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan, namun pelaksanaan misi itu masih menunggu persetujuan rasmi negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bersedia menggerakkan aset dan anggota berkenaan sebaik menerima persetujuan tersebut.
Beliau berkata walaupun jumlah bantuan itu kecil berbanding keseluruhan kekuatan pemadaman kebakaran di Indonesia, tawaran itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk membantu negara jiran berkenaan.
“Bantuan kita sekecil mana pun merupakan satu isyarat yang baik untuk membantu negara jiran yang terdekat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengenai perkara ini.
“Kita komited untuk meneruskan bantuan ini bagi menangani masalah jerebu yang akhirnya turut menjejaskan Malaysia, Singapura, Timor-Leste dan Indonesia sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi keselamatan lain menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta masalah jerebu.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto dilaporkan telah meluluskan tawaran bantuan asing bagi menangani krisis berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan ancaman banjir selepas isu jerebu selesai.
Beliau berkata kerajaan mahu memastikan mangsa banjir dapat dipindahkan lebih awal menerusi pengoptimuman penggunaan sistem amaran awal yang sedang dilaksanakan.
“Kesiapsiagaan ini akan diteruskan dan kita berterima kasih kerana usaha ini turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain jabatan dan agensi kerajaan.
“Dua minggu lepas, kita telah mengadakan Bulan Kesiapsiagaan peringkat nasional di Ipoh, yang berjalan dengan baik. Kita berharap kejadian banjir pada kali ini dapat dikurangkan,” katanya. – Bernama




