KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Penyanyi dan pelakon Bella Astillah membuat kejutan istimewa buat suaminya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila mendendangkan sebuah lagu yang digubah khas sempena majlis resepsi perkahwinan mereka di sini malam tadi.
Bella, atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata lagu berjudul Bersama Aku Setia Selamanya itu dihasilkan dengan bantuan penyanyi dan komposer Hael Husaini serta mengisahkan perjalanan hubungan beliau dengan suaminya.
“Saya nervous (gementar) sangat. Ini kali pertama saya menyanyikan lagu ini. Sebenarnya, lagu ini juga dihasilkan dalam tempoh yang agak singkat. Terima kasih kepada Hael kerana banyak membantu saya dari segi lirik.
“Ketika proses rakaman, kami ke studio sebanyak tiga kali dan beliau hadir pada setiap sesi,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini.
Berkongsi lanjut, Bella berkata lagu itu akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.
Sementara itu, Syed Saddiq, 34, mengakui tersentuh dengan kejutan yang dilakukan isterinya.
“Melting-lah (tersentuhlah), apa lagi. Tambahan pula, ini kali pertama saya mendengarnya,” kata Ahli Parlimen Muar itu ketika ditanya mengenai perasaannya menyaksikan persembahan Bella.
Berkongsi kehidupan selepas seminggu bergelar suami isteri, Bella berkata beliau masih menyesuaikan diri dengan rutin baharu selepas berpindah bersama dua anaknya, Mohamad Aydeh Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, ke kediaman Syed Saddiq.
Menurutnya, antara perkara yang mula dipelajarinya ialah gaya hidup sederhana suaminya, termasuk dalam soal sarapan pagi. Katanya, Syed Saddiq lebih gemar menikmati hidangan ringkas seperti bijirin dan sekali-sekala pankek pada hujung minggu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menerusi ucapannya pada majlis berkenaan menangkis tanggapan segelintir pihak yang menganggap beliau dan isterinya tidak sekufu. Menurutnya, Bella ialah wanita luar biasa yang banyak berkorban untuk keluarga sejak kecil.
“Tanggapan bahawa Bella memerlukan tempat bergantung adalah tidak benar kerana realitinya, saya bukan dahan untuk dia bergantung. Bella bergantung pada diri sendiri. Dia seorang yang berdikari, kuat dan cekal,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Bella pula mengakui terharu dengan kenyataan suaminya itu, selain melahirkan rasa syukur kerana Syed Saddiq menerima dan menyayangi kedua-dua anaknya dengan ikhlas.
Mengenai perancangan bulan madu, Syed Saddiq berkata mereka hanya akan berbuat demikian selepas sidang Parlimen yang sedang berlangsung berakhir pada Disember ini.
Pasangan berkenaan diijabkabulkan pada 10 Oktober lepas di Menara Merdeka 118 dan dijadual meneruskan sambutan perkahwinan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor, pada 25 Oktober ini, diikuti Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober. – Bernama





