CYBERJAYA, 19 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa sebarang bentuk buli siber tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan kepentingan adab dan tanggungjawab ketika menggunakan media sosial.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya menjunjung titah Seri Paduka Baginda yang mengingatkan bahawa setiap kebebasan perlu disertai tanggungjawab, khususnya dalam interaksi di platform digital.
Menurut suruhanjaya itu, kebebasan bersuara dan mengkritik perlu diamalkan secara beradab serta bertanggungjawab tanpa menjadikan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk melakukan buli siber.
“Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber, termasuk gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu.
“Perbuatan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai saling menghormati,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MCMC turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka Baginda berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu.
Menurut MCMC, penyebaran maklumat tidak sahih melalui teknologi berkenaan berpotensi mencetuskan fitnah dan kebencian dalam masyarakat.
Sehubungan itu, MCMC akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat menerusi kerjasama dengan penyedia platform digital, agensi berkaitan dan masyarakat.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti sebelum tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, MCMC menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghayati titah Yang di-Pertuan Agong dengan menghormati perbezaan pandangan serta mengamalkan komunikasi yang berhemah di media sosial.
Orang ramai juga diingatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi, selain sentiasa menjaga adab dan menghormati maruah individu lain dalam setiap interaksi dalam talian.





