Jerebu: KPM lanjut tempoh pengisian markah UASA, peperiksaan akhir sesi akademik dan PAJSK

Facebook
WhatsApp
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM).

PUTRAJAYA, 19 Oktober: Kementerian Pendidikan (KPM) melanjutkan tempoh pengisian markah bagi beberapa pentaksiran persekolahan menerusi Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS) susulan gangguan terhadap sesi persekolahan dan pelaksanaan pentaksiran akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh akhir pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PAT/PASA) dilanjutkan selama seminggu, daripada 21 November kepada 28 November ini.

Selain itu, tarikh akhir pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) turut dilanjutkan daripada 30 November kepada 5 Disember ini.

“Dengan pelanjutan tempoh pengisian markah ini, diharapkan murid, guru serta ibu bapa dan penjaga akan berasa lebih selesa dalam melaksanakan proses pengisian markah menerusi sistem MOEIS KPM,” menurut kenyataan itu. – Bernama