Polis Kuching tahan 13 motosikal, keluarkan 43 saman dalam Op Motosikal

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan motosikal dalam Op Motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan di Kuching, dari malam semalam hingga awal pagi hari ini. Foto IPD Kuching.

KUCHING, 18 Oktober: Sebanyak 13 motosikal ditahan manakala 43 saman trafik dikeluarkan dalam Op Motosikal bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang dijalankan di sekitar Kuching, dari malam semalam hingga awal pagi, hari ini.

Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu berlangsung dari 11.00 malam hingga 5.00 pagi di Petronas Jalan Astana dan Pangkalan Sapi.

Operasi berkenaan melibatkan 11 pegawai dan anggota polis, dengan pemeriksaan dilakukan terhadap 55 motosikal serta 60 individu, terdiri daripada 55 lelaki dan lima perempuan.

Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 13 melibatkan kesalahan pengubahsuaian ekzos, tujuh kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran hadapan atau belakang, lima bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, empat kerana tidak mempunyai lesen memandu dan empat lagi kerana tiada nombor pendaftaran.

Saman selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain, termasuk tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans, pengubahsuaian struktur atau peralatan kenderaan serta penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi peraturan.

Dalam operasi sama, sebanyak 13 motosikal turut ditahan kerana pengubahsuaian struktur yang tidak menepati spesifikasi asal.

Kesemua motosikal berkenaan dibawa ke BSPTD IPD Kuching untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi itu bertujuan meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang lalu lintas, khususnya bagi membendung kegiatan samseng jalanan dan pengubahsuaian motosikal yang menyalahi peraturan.

Polis akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya terpelihara.

Oleh Shikin Mahmud