KABUL: Pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi memaklumkan Taliban sedia bekerjasama dengan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan tidak ‘dikawal’ oleh mana-mana negara.
Beliau menggesa negara di seluruh dunia untuk menjalin hubungan rasmi dengan Taliban kerana peperangan sudah berakhir di negara ini.
Menurutnya, Taliban tidak akan membenarkan negara itu digunakan sama sekali sebagai tapak operasi kumpulan bersenjata bagi melancarkan serangan terhadap negara lain.
“Aspek keselamatan sentiasa dijaga di seluruh negara dan kita sentiasa bersedia serta bersikap terbuka terhadap pelaburan langsung asing,” jelasnya.
Minggu lalu, Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, negara itu menolak untuk memberi pengiktirafan atau mempunyai sebarang hubungan dengan kerajaan Taliban.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula menjelaskan adalah ‘mustahil’ untuk membekalkan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan tanpa menjalinkan kerjasama dengan Taliban.
“Saya percaya adalah amat penting untuk menjalinkan hubungan dengan Taliban buat masa sekarang bagi membantu segala aspek yang menjadi kebimbangan komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau yakin bantuan dapat dimanfaatkan oleh Taliban bagi melihat perubahan terhadap hak asasi manusia.
Sehingga kini, belum ada mana-mana negara menyatakan persetujuan mengiktiraf pentadbiran Taliban di Kabul.
Situasi itu menyebabkan krisis ekonomi berlanjutan di Afghanistan yang sangat bergantung harap kepada bantuan luar sejak 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, Amir Khan berterima kasih kepada komuniti antarabangsa yang berjanji menyalurkan bantuan lebih AS$1 bilion (RM4.16 bilion) kepada Afghanistan semasa persidangan penyumbang PBB di Geneva.
Dalam pada itu, Amir Khan mengutuk tindakan AS terhadap kerajaan baharu Taliban kerana menghentikan bantuan ekonomi selepas kumpulan itu mengambil alih Afghanistan, bulan lalu.
Dalam ucapan pertama kepada pihak media sejak Taliban mengumumkan pembentukan kerajaan sementara minggu lalu, Muttaqi berkata, kumpulan itu tidak akan membenarkan ‘mana-mana negara’ mengenakan sekatan atau embargo terhadap Afghanistan termasuk AS.
“Kita bantu AS sehingga proses pemindahan individu terakhir, namun, malang sekali bukan sahaja AS tidak berterima kasih bahkan membekukan aset negara ini,” katanya.
Sejak Taliban mengambil alih Afghanistan 15 Ogos lalu, Rizab Persekutuan AS, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memotong dana ke negara itu sehingga menyebabkan masalah kecairan tunai yang meluas dalam ekonomi akibat kebergantungan kepada tunai yang tinggi.-AFP