Konvensyen PBB Zon Selatan berlangsung 15 November

Facebook
WhatsApp
FADILLAH Yusof mempengerusikan Mesyuarat Bil. 2/2026 Jawatankuasa Induk Konvensyen PBB Zon Selatan bagi menyelaras persiapan menjelang konvensyen pada 15 November ini. Foto FB Fadillah Yusof

KUCHING, 18 Oktober: Persiapan menjelang Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan pada 15 November ini diperkemas menerusi penyelarasan tugas dan tanggungjawab setiap jawatankuasa bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Bil. 2/2026 Jawatankuasa Induk Konvensyen PBB Zon Selatan di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, petang tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata, konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu bukan sekadar perhimpunan parti, malah menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, memantapkan kesepakatan dan menyelaraskan hala tuju perjuangan demi kepentingan rakyat serta masa depan Sarawak.

FADILLAH Yusof bersama ahli jawatankuasa ketika mesyuarat penyelarasan persiapan Konvensyen PBB Zon Selatan. Foto FB Fadillah Yusof

“Konvensyen ini bukan sekadar perhimpunan parti, tetapi juga menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, memantapkan kesepakatan dan menyelaraskan hala tuju perjuangan demi kepentingan rakyat serta masa depan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadillah turut menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi parti supaya terus bergerak seiring dalam mendukung agenda pembangunan Sarawak yang maju, makmur, inklusif dan mampan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan persiapan konvensyen berjalan lancar dan teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Oleh Adele Rissa