TEBEDU, 18 Oktober: Empat projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan jumlah peruntukan RM780,000 dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan penduduk Kampung Jenan, Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, projek berkenaan merangkumi kerja menaik taraf Gereja Anglican, menurap jalan dalam kampung, menaik taraf jalan pertanian serta Dewan Komuniti Kampung Jenan.
“Projek menaik taraf Gereja Anglican menerima peruntukan terbesar sebanyak RM300,000, diikuti kerja menurap jalan dalam Kampung Jenan sebanyak RM180,000.
“Dua lagi projek melibatkan menaik taraf jalan pertanian dengan peruntukan RM150,000 serta menaik taraf Dewan Komuniti Kampung Jenan yang turut menerima RM150,000,” katanya.
Beliau berkongsi maklumat mengenai projek-projek berkenaan ketika menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Biro Wanita Kampung Jenan di Dewan Komuniti Kampung Jenan, semalam.
Selain empat projek RTP itu, Dr. Simon memaklumkan bahawa dua projek di bawah Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) turut dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM6 juta.
“Projek berkenaan ialah menaik taraf sistem bekalan air Kampung Jenan bernilai RM1 juta serta pembinaan Jalan Perhubungan Desa Jenan–Kakeng yang melibatkan peruntukan RM5 juta.
“Secara keseluruhan, enam projek pembangunan melalui RTP dan GKCDA itu membabitkan peruntukan RM6.78 juta, dengan matlamat meningkatkan kemudahan asas, memperbaiki akses perhubungan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Simon turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen Biro Wanita Kampung Jenan yang aktif melaksanakan pelbagai kegiatan kemasyarakatan, termasuk mengusahakan tanah kosong secara bergotong-royong untuk aktiviti pertanian.
“Hasil pertanian yang diusahakan itu kemudiannya dijual bagi menjana pendapatan untuk dana persatuan, sekali gus membantu membiayai aktiviti dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli,” tambahnya.
Beliau turut menghargai kehadiran wakil persatuan wanita dari sekitar Tebedu dan Serian yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Simon berharap pelaksanaan projek pembangunan itu dapat memberikan manfaat berterusan kepada penduduk Kampung Jenan, manakala Biro Wanita kampung berkenaan diharap terus aktif memperkasa peranan wanita serta menjadi inspirasi kepada persatuan lain.
Oleh Adi Safarman




