SIMANGGANG, 18 Oktober: Seramai 400 peserta hadir untuk menjalani Ujian Bahagian 3 Program MyLesen B2 N28 Lingga di Pusat Latihan Memandu, Jalan Sinjor, Pasir Panas, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, kehadiran yang memberangsangkan itu mencerminkan kesungguhan masyarakat, khususnya golongan belia, untuk mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara sah.
Menurutnya, ujian itu turut melibatkan 15 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Sri Aman yang menjalankan penilaian terhadap peserta dengan bantuan Institut Memandu Bahagian Sri Aman.
“Sambutan yang amat menggalakkan ini menunjukkan komitmen tinggi peserta untuk meningkatkan kemahiran menunggang serta kesedaran terhadap aspek keselamatan jalan raya,” katanya.
Program MyLesen B2 merupakan antara inisiatif yang memberi peluang kepada golongan sasaran untuk mendapatkan lesen memandu motosikal, sekali gus menggalakkan penggunaan jalan raya secara lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.

Dayang Noorazah turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas usaha, disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti program berkenaan.
Beliau berharap semua peserta memperoleh keputusan yang cemerlang dan seterusnya dapat memanfaatkan lesen yang diperoleh untuk urusan harian serta meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Bahagian Sri Aman dan Institut Memandu Bahagian Sri Aman atas kerjasama serta komitmen mereka dalam memastikan ujian berjalan lancar, teratur dan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Kejayaan penganjuran program ini membuktikan kerjasama erat antara agensi dan masyarakat dalam melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah serta mengutamakan keselamatan,” katanya.
Oleh Adi Safarman




