IPD Bau periksa 178 kenderaan, keluarkan 12 saman dalam operasi bersepadu

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau berkumpul sebelum memulakan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar Daerah Bau. Foto IPD Bau

BAU, 18 Oktober: Sebanyak 178 kenderaan diperiksa manakala 12 saman trafik dikeluarkan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dari semalam hingga awal pagi tadi.

Operasi yang bermula pada 8.00 malam hingga 12.01 tengah malam itu melibatkan 28 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai bahagian serta balai di bawah IPD Bau.

Pemeriksaan dan rondaan dijalankan di beberapa lokasi, termasuk Jalan Suba Buan, Jalan Bau-Kuching, Bau, Siniawan dan Serikin.

Daripada keseluruhan kenderaan yang diperiksa, sebanyak 150 ialah kereta, 26 motosikal dan dua lori.

Operasi itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 191 individu, terdiri daripada 145 lelaki dan 46 perempuan.

ANGGOTA polis IPD Bau menjalankan pemeriksaan kenderaan sempena Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar Daerah Bau, semalam. Foto Polis IPD Bau

Sebanyak 12 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, motosikal tanpa cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan berkaitan lesen memandu.

Selain pemeriksaan trafik, operasi itu turut merangkumi rondaan dan pemantauan bagi mencegah kegiatan mencuri kenderaan serta kabel telekomunikasi, di samping meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan.

Operasi berkenaan merupakan usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkukuh pencegahan jenayah, meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Bau.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan menepati spesifikasi yang ditetapkan.

Oleh Shikin Mahmud