Jauwadee Bun Chea dinobatkan Miss Malaysia Tourism 2026

Facebook
WhatsApp
PEMENANG Miss Malaysia Tourism 2026, Jauwadee Bun Chea menerima mahkota daripada bekas pemegang gelaran itu, Jen Cheng, pada Pertandingan Akhir Kebangsaan Miss Tourism ke-29 2026 di Hotel Kinta Riverfront, semalam. Foto Bernama

IPOH, 18 Oktober: Jauwadee Bun Chea dinobatkan sebagai Miss Malaysia Tourism 2026 pada pertandingan ratu cantik peringkat kebangsaan yang berlangsung di sini semalam, selepas menewaskan 14 finalis lain dari seluruh negara.

Menerusi kemenangan itu, jelitawan berusia 24 tahun berkenaan membawa pulang wang tunai RM5,000, biasiswa bernilai RM50,000 daripada Universiti Antarabangsa Quest serta set barangan kemas bernilai RM8,800 daripada Bintang Galeria.

Beliau juga bakal mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Tourism Antarabangsa 2026 di Filipina pada Disember ini.

Selain itu, Jauwadee akan menggalas tanggungjawab sebagai duta pelancongan untuk mempromosikan warisan budaya, tarikan pelancongan dan hospitaliti Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

PEMENANG Miss Malaysia Tourism 2026, Jauwadee Bun Chea bergambar bersama Miss Malaysia Tourism Queen of the Year 2026, Veronique Lee dan Miss Malaysia Tourism Metropolitan 2026, Dhivyaa Murthi selepas menerima mahkota pada Pertandingan Akhir Kebangsaan Miss Tourism ke-29 2026 di Hotel Kinta Riverfront, semalam. Foto Bernama

Pertandingan yang bertemakan “Penerokaan Keindahan: Menyingkap Pengembaraan Warisan Perak yang Penuh Potensi” itu bertujuan mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan, budaya dan tarikan ekopelancongan.

Sepanjang minggu pertandingan yang bermula pada 7 Oktober lalu, para finalis menyertai pelbagai aktiviti, termasuk penerokaan warisan di Ipoh, pengalaman kulinari yang mengetengahkan makanan istimewa Perak, aktiviti ekopelancongan di Kuala Sepetang, persembahan kebudayaan serta inisiatif komuniti.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee, berkata tema pertandingan itu bertujuan mengetengahkan identiti unik Perak serta mempromosikan negeri berkenaan sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan budaya.

Beliau berkata warisan budaya Malaysia yang merangkumi pelbagai kaum, kepelbagaian tradisi serta keharmonian masyarakat merupakan antara keunikan yang menjadi tarikan negara.

JAUWADEE Bun Chea, bergambar bersama finalis lain pada Pertandingan Akhir Kebangsaan Miss Tourism ke-29 2026 di Hotel Kinta Riverfront, semalam. Foto Bernama

“Malaysia ialah sebuah negara yang bangga meraikan perpaduan dalam kepelbagaian. Kita ialah ‘rumah’ kepada masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan tradisi, namun kita tetap bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Warisan budaya kita yang pelbagai, tradisi yang berwarna-warni dan masyarakat yang harmoni menjadikan Malaysia benar-benar istimewa, sekali gus memberi pelawat dari seluruh dunia banyak sebab untuk meneroka dan mengalami sendiri keindahan negara kita,” katanya ketika berucap pada pertandingan itu.

Choy berkata pertandingan berkenaan turut memberi peluang kepada finalis untuk meneroka pelbagai destinasi di Malaysia, menghargai warisan budayanya serta merasai kemesraan dan hospitaliti rakyat negara ini.

Pemenang pertandingan itu pula menggalas tanggungjawab untuk mempamerkan keindahan negara, identiti budaya, warisan, semangat serta keunikan perpaduan Malaysia di pentas antarabangsa, katanya. – Bernama