PUTRAJAYA, 18 Oktober: Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menafikan dakwaan bahawa caj perkhidmatan bagi transaksi menggunakan kod respons pantas (QR) akan mula dikenakan pada 1 November ini, seperti yang dinyatakan dalam sebuah poster yang tular di media sosial.
Menerusi hantaran di Facebook, MOF memaklumkan bahawa poster berkenaan adalah palsu.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa caj perkhidmatan bagi transaksi QR akan mula dikenakan pada 1 November 2026 kerana maklumat tersebut adalah palsu.
“MOF ingin menegaskan bahawa tiada pengumuman rasmi mengenai caj perkhidmatan QR seperti yang didakwa dalam poster berkenaan,” menurut kenyataan MOF.
Sehubungan itu, kementerian menasihati orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi MOF sebelum berkongsi sebarang maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.
Terdahulu, poster berkenaan tular di platform Facebook dan Threads, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta komen dalam kalangan pengguna media sosial. – Bernama





