SARIKEI, 18 Oktober: Peruntukan sebanyak RM10,000 diumumkan kepada Persatuan Klan Wong Liing Hung bagi menyokong peranannya dalam memelihara hubungan kekeluargaan serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, persatuan keluarga memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan antara generasi serta mengekalkan nilai menghormati warga emas dan menyayangi golongan muda.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang, sempena Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026, Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Penghargaan Warga Emas anjuran Persatuan Klan Wong Liing Hung, Pejabat Perhubungan Sarikei, baru-baru ini.
Menurut Huang, pengorbanan generasi terdahulu perlu terus dihargai kerana mereka menjadi tunjang kekuatan keluarga serta memainkan peranan penting dalam mewariskan nilai kekeluargaan kepada generasi muda.
Katanya, kesejahteraan dan kejayaan sesebuah keluarga hari ini tidak dapat dipisahkan daripada usaha generasi terdahulu, manakala warga emas turut menjadi sumber pengalaman dan nasihat kepada ahli keluarga.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas membentuk generasi pelapis yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
Menurutnya, pemberian insentif kecemerlangan akademik kepada anak-anak ahli persatuan bukan sekadar mengiktiraf pencapaian mereka, malah menjadi dorongan supaya golongan muda terus mengutamakan pendidikan.
Beliau berkata, bantuan persekolahan seperti beg sekolah, kasut dan pakaian seragam turut disalurkan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa.
Huang turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan perhatian terhadap pembangunan negeri, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas serta memperluas peluang pendidikan kepada masyarakat.
Katanya, pelaburan berterusan dalam pembangunan di peringkat akar umbi penting bagi memastikan generasi muda memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik, manakala warga emas dapat menikmati kehidupan yang sejahtera.
Oleh Earl Anek




