Anwar ucap tahniah atas persembahan istimewa Siti Nurhaliza pada Konsert Tradisional Gema Bumantara

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Anwar Ibrahim semasa Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 18 Oktober: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa pada Konsert Tradisional Gema Bumantara, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi atas kejayaan konsert berkenaan.

DATUK Seri Siti Nurhaliza Tarudin memukau penonton menerusi persembahan yang mengangkat warisan seni Nusantara pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto Pejabat Perdana Menteri.

“Seronok malam tadi dapat menikmati persembahan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.

“Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan. Hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya. Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa,” kata beliau.

DATUK Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Noraniza Idris bergandingan di pentas menerusi persembahan berteraskan muzik tradisional pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata beliau percaya seni dan budaya amat dekat di hati rakyat dan mahu warisan tersebut terus dihidupkan agar turut dinikmati serta dicintai oleh generasi muda.

“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya.

Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berjaya menarik kehadiran 63,000 penonton walaupun berlangsung dalam suasana hujan. – Bernama