KUCHING, 17 Oktober: Bakat penulis tempatan, kekayaan cerita rakyat dan kerjasama institusi kebudayaan mampu memperkukuh gerakan kesusasteraan Sarawak serta membawa karya negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepelbagaian tradisi lisan dan bakat kreatif yang dimiliki Sarawak menyediakan asas kukuh untuk membangunkan masyarakat yang menghargai penulisan dan kesusasteraan.
“Usaha berkenaan turut menyokong aspirasi Miri untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO City of Literature menjelang 2027, sekali gus membuka peluang memperluas kegiatan sastera dan pelancongan berasaskan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Sarawak Folklore Book I’ dan penyampaian hadiah Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Sarawak DayakDaily 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman Edinburgh di Scotland, yang diiktiraf sebagai Bandar Sastera UNESCO pertama di dunia, menunjukkan bagaimana karya sastera dan cerita tempatan boleh membentuk identiti sesebuah bandar serta menarik minat pelawat.
“Sarawak juga mempunyai potensi untuk mengembangkan pendekatan itu menerusi dokumentasi cerita rakyat, penerbitan karya tempatan dan penglibatan penulis daripada pelbagai latar belakang,” ujarnya.
Menurutnya, perkembangan gerakan kesusasteraan memerlukan sokongan institusi pendidikan, badan kebudayaan dan masyarakat, termasuk Universiti Curtin Malaysia serta Pustaka Negeri Sarawak, bagi membangunkan repositori fizikal dan digital untuk menghimpunkan sejarah lisan masyarakat pribumi di utara Sarawak serta karya sastera moden.
Beliau turut berharap karya penulis tempatan pada masa hadapan dapat dikembangkan kepada medium lain seperti animasi, video dan filem supaya cerita serta bakat kreatif Sarawak dapat diperkenalkan kepada khalayak antarabangsa.

Sementara itu, ‘Sarawak Folklore Book I’ menghimpunkan 33 cerita, terdiri daripada 20 karya pemenang pertandingan penulisan tahun ini dan 13 cerita pilihan daripada ekspedisi tahunan D’Drift DayakDaily.
Pertandingan berkenaan menerima 185 penyertaan daripada kategori dewasa dan belia, dengan 20 penulis menerima pengiktirafan atas karya masing-masing.
Buku itu diterbitkan menerusi inisiatif Persatuan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) dengan kerjasama DayakDaily dan Amber Publishing House sebagai usaha mendokumentasikan cerita rakyat Sarawak untuk generasi akan datang.
Oleh Adele Rissa





