HOUSTON, Amerika Syarikat, 16 Oktober: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, memperkenalkan kereta yang disifatkannya sebagai kereta ‘terbang’ dan dilengkapi pendorong ketika acara yang disiarkan secara langsung di fasiliti syarikat roketnya, SpaceX, pada Khamis.
Cabaran teknikal dan kawal selia setakat ini menghalang sektor kereta terbang yang mendapat perhatian meluas daripada berkembang seperti yang diharapkan.
Musk memperkenalkan kereta sport Roadster terbaharunya pada acara pelancaran di fasiliti ujian SpaceX di Texas.
Dalam demonstrasi yang disiarkan secara langsung menerusi akaun X Tesla itu, kereta berkenaan meluncur dari tanjakan keluli yang curam sebelum melakukan putaran penuh di udara dan mendarat semula dengan keempat-empat tayarnya.
“Kereta terbang memang wujud,” kata Musk ketika acara itu.
Beliau berkata, walaupun kejayaan kenderaan itu “tidak terjamin… ia berkemungkinan akan berfungsi”.
Kereta sport dua tempat duduk itu tidak menggunakan pemandu ketika demonstrasi bagi “memastikan kami tidak membunuh sesiapa”, katanya.
Musk berkata, kenderaan itu dilengkapi 10 muncung pendorong serta “tangki udara bertekanan ultra tinggi” untuk membolehkannya meluncur ke udara dan memecut dengan pantas di atas jalan.
Kereta itu mampu memecut dari sifar kepada 60 batu sejam (100 kilometer sejam) dalam masa kurang satu saat, dengan kelajuan maksimum 230 batu sejam (370 kilometer sejam).
Jutawan teknologi itu menyifatkan pembangunan berkenaan sebagai “hasil kerjasama antara syarikat kereta terbaik dunia dengan syarikat roket terbaik dunia”, merujuk kepada Tesla dan SpaceX.
“Ia pada asasnya boleh terbang seperti roket,” katanya.
Musk berkata, Roadster itu “tidak semestinya sebuah kereta yang dioptimumkan dari segi keselamatan”, namun ia akan menjadi “kereta sebenar yang boleh digunakan di jalan raya”.
“Saya tidak pasti sama ada ia sah di sisi undang-undang di semua bidang kuasa, tetapi akan ada kereta seperti ini yang boleh dimiliki seseorang,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan itu dijangka memasuki fasa pengeluaran pada 2028. Bagaimanapun, Musk sebelum ini sering mengumumkan tarikh pelancaran produk Tesla atau SpaceX yang kemudiannya ditangguhkan sehingga beberapa tahun.
Pelancaran Roadster itu telah ditangguhkan beberapa kali dan dinanti-nantikan sejak sekurang-kurangnya sembilan tahun lalu.
Di laman web Tesla, pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan bagi model Roadster “Performance” atau model “Thrust” yang dilengkapi pendorong lebih berkuasa. Harga jualan akhir masih belum didedahkan.
Perintis penerbangan Amerika Syarikat, Glenn Curtiss, memperkenalkan prototaip pertama kereta terbang pada 1917.
Namun, reka bentuk kereta terbang yang berdaya maju hanya mula dipertimbangkan dengan lebih serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seiring kemajuan teknologi motor elektrik dan bateri berprestasi tinggi. – AFP





