PETRA JAYA, 16 Oktober: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) diminta menempatkan pengawal trafik di kawasan Matang pada waktu pagi bagi membantu melancarkan aliran kenderaan dan mengurangkan kesesakan, khususnya di kawasan bulatan.

ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan susulan kesesakan yang masih berlaku di kawasan berkenaan walaupun jalan di Matang telah siap dibina.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sudah menempatkan pengawal trafik bagi membantu menguruskan pergerakan kenderaan, justeru beliau berharap MPP turut mengambil langkah sama di kawasan bawah pentadbirannya.
Penempatan pengawal trafik pada waktu puncak pagi dilihat dapat membantu melancarkan pergerakan kenderaan, terutama ketika jumlah pengguna jalan raya meningkat.
Selain isu kesesakan, Fazzrudin turut membangkitkan masalah haiwan terbiar di kawasan Tupong yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh bagi melindungi keselamatan dan kesihatan penduduk.
Beliau berkata, usaha pemberian vaksin antirabies melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan SSPA di seluruh kawasan N.6 Tupong perlu diteruskan bagi membantu mengawal risiko penularan rabies.
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa pengurusan haiwan terbiar untuk menyelaras tindakan berkaitan isu berkenaan, termasuk langkah pencegahan penyakit dan pengurusan haiwan terbiar secara lebih teratur.
Perkara itu dibangkitkan Fazzrudin ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Oleh Afiq Sallehi




