KOTA SAMARAHAN, 16 Oktober: Polis memeriksa 51 kenderaan dan 62 individu menerusi Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan di daerah itu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md berkata, operasi berkenaan melibatkan sekatan jalan raya (SJR), rondaan cegah jenayah (RCJ), serta serbuan dan tangkapan.
“Sepanjang operasi, sebanyak 51 kenderaan dan 62 individu telah diperiksa, manakala lima saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Mohd Irwan Hafiz berkata, polis turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 24 tahun berhubung kesalahan berkaitan dadah di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk mencegah jenayah, menguatkuasakan undang-undang dan membanteras kegiatan berkaitan dadah.
Oleh Connie Chieng





