DUN: Perkhidmatan Doktor Udara digantung sementara, klinik bergerak menggantikan perkhidmatan di pedalaman

Facebook
WhatsApp
DATO Friday Belik (GPS-Krian) ketika mengemukakan pertanyaan lisan pada sidang DUN, hari ini. Foto Ukas.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara susulan nahas helikopter di Long Lellang, Baram pada 8 September 2026 yang mengorbankan lima nyawa.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan terjejas akan diteruskan melalui kaedah penyampaian alternatif sepanjang tempoh penggantungan itu.

Menurutnya, pasukan klinik bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pengangkutan sungai seperti bot antara kaedah yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan ke kawasan yang boleh diakses.

Beliau berkata, pelan kontingensi antara agensi turut diaktifkan bagi memastikan perkhidmatan kecemasan diteruskan, termasuk pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) dari kawasan pedalaman menggunakan aset udara alternatif kerajaan.

Aset berkenaan termasuk Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, kerajaan sedang merangka cadangan penambahbaikan menyeluruh bagi memperkukuh perkhidmatan FDS pada masa hadapan, meliputi keselamatan operasi, kesesuaian dan keupayaan aset udara, latihan kecemasan, kesiapsiagaan serta kebajikan dan perlindungan petugas.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama JBPM sedang menganjurkan program Libat Urus Petugas, Taklimat Keselamatan dan Pengenalan Pesawat bagi Pemindahan Perubatan Kecemasan Sarawak 2026 (Sarawak Medevac Staff Engagement, Safety Briefing and Aircraft Familiarisation Roadshow 2026) bagi meningkatkan pemahaman, kesiapsiagaan dan keyakinan petugas kesihatan yang terlibat dalam operasi MEDEVAC.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Dato Friday Belik (GPS-Krian) mengenai kesinambungan perkhidmatan FDS susulan nahas helikopter berkenaan serta langkah kerajaan memastikan perkhidmatan itu lebih selamat dan berkesan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud