SELANGAU, 16 Oktober: Dua lelaki cedera selepas sebuah lori terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kilometer 114, Jalan Sibu-Bintulu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.54 pagi itu, seorang mangsa tercampak keluar dari lori berkenaan, manakala seorang lagi terperangkap di dalam kenderaan terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau tiba di lokasi pada 5.35 pagi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah lori yang terbabas dan terbalik di tepi jalan.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala seorang lagi mengalami pendarahan akibat luka di kaki kiri dan terperangkap di dalam lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan dua pengusung dan memasang Kolar serviks pada kedua-dua mangsa bagi membantu proses pemindahan.
Mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dari lori sebelum kedua-duanya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) Selangau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kedua-dua mangsa dilaporkan masih sedar ketika operasi menyelamat dijalankan.
Operasi membabitkan tujuh anggota bomba itu terkawal pada 6.32 pagi dan ditamatkan tiga minit kemudian selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Oleh Akun Giman





