PETRA JAYA, 15 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau ketegangan dalam kalangan netizen Malaysia dan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan, namun belum menerima aduan mengenai kandungan yang ditafsirkan sebagai jelik melampau berkaitan isu itu.
Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memahami kemarahan rakyat terhadap masalah jerebu yang berlarutan, tetapi perkembangan perbincangan di media sosial perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat.
“Setakat ini MCMC belum menerima aduan daripada orang ramai mengenai apa-apa kandungan yang ditafsirkan sebagai jelik melampau berkait isu ini.
“Kita tahu dan kita faham rakyat marah, kita pun marah tentang masalah jerebu yang seperti tiada kesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Mengulas usaha membantu memadamkan kebakaran yang menyumbang kepada jerebu, Fahmi berkata Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan surat bagi memohon penyediaan aset untuk membantu operasi pemadaman api.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum menerima maklum balas terhadap permohonan berkenaan setakat ini.
Menurutnya, perkembangan lanjut dijangka diketahui selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat, dengan makluman mungkin disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
“Kita tunggu Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Jumaat, insya-Allah,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





