NIAH, 15 Oktober: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan batu di Lebuh Raya Pan Borneo di sini, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 7.00 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi pada 7.42 pagi.
Kemalangan melibatkan sebuah kereta sedan yang berada di lorong kanan laluan dari arah Bintulu ke Miri.

Mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu, manakala lori yang dipercayai terlibat dalam kemalangan itu tiada di lokasi ketika pasukan bomba tiba.
Mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan jalan selepas kenderaan mangsa dialihkan oleh lori tunda.
Operasi melibatkan lima anggota dengan sebuah jentera dari BBP Batu Niah, dengan bantuan pihak polis dan KKM.
Oleh Adum Liu





