PETRA JAYA, 15 Oktober: Kajian Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak dijangka siap menjelang penghujung tahun ini, sekali gus menjadi asas bagi mengenal pasti projek pembangunan strategik di kawasan sempadan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menjawab bagi pihak Premier Sarawak berkata, kajian itu mengambil kira kepentingan strategik kawasan sempadan yang semakin meningkat, termasuk susulan keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Menurutnya, pelan induk berkenaan bertujuan mentransformasikan kawasan sempadan Sarawak daripada kawasan pinggiran kepada pintu masuk strategik bagi perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan di Borneo serta rantau ASEAN.
“Pelan induk ini bertujuan untuk mentransformasikan kawasan sempadan Sarawak daripada kawasan pinggiran kepada pintu masuk strategik bagi perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan dalam pada masa yang sama meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Billy Sujang (GPS-Opar) berhubung cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Sekuriti (ICQS) Biawak ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Menurut Abdul Karim, selepas kajian selesai, hasil dan dapatan berkenaan akan diteliti secara menyeluruh bagi mengenal pasti projek yang bersesuaian untuk dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan projek akan ditentukan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kesediaan pelaksanaan, tertakluk kepada peruntukan serta kelulusan berkaitan.
Dalam pada itu, cadangan menaik taraf ICQS Biawak turut diberikan perhatian dan dimasukkan dalam skop kajian berkenaan.
Beliau berkata, selain aspek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur ICQS, kajian itu turut mengambil kira cadangan serta inisiatif berkaitan pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi di kawasan Biawak.
Jawapan itu memberi gambaran bahawa pembangunan kawasan sempadan Sarawak akan dirancang secara menyeluruh, merangkumi kemudahan pemeriksaan sempadan, hubungan perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Oleh Shahrul Qaizat





