KUCHING, 14 Oktober: Usaha memperluas akses pekebun kecil kepada maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan agensi komoditi terus diperkasakan menerusi Program Bual Bicara Komoditi (BBK) yang dibincangkan dalam satu sesi diskusi dan taklimat di Bilik Mesyuarat Lembaga Getah Malaysia Wilayah Sarawak, kelmarin.
Program berkenaan dilihat sebagai platform strategik untuk merapatkan jurang antara agensi kerajaan dan komuniti komoditi, sekali gus memastikan maklumat, bantuan serta perkhidmatan dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada golongan sasar.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pelbagai pendekatan mesra komuniti telah dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan program lebih inklusif, praktikal dan menjimatkan kos.
Antaranya ialah penganjuran pameran mini serta penyediaan kaunter khidmat pelanggan bagi memudahkan orang ramai berurusan terus dengan agensi berkaitan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan pekebun kecil mendapatkan maklumat tepat mengenai bantuan dan kemudahan yang tersedia, selain memahami prosedur serta saluran yang betul untuk mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Melalui interaksi secara bersemuka, masyarakat dapat memperoleh penerangan yang lebih jelas mengenai program dan insentif yang ditawarkan, sekali gus membantu mereka membuat perancangan ekonomi yang lebih baik,” katanya.
Perbincangan turut menekankan kepentingan penyertaan komuniti dari pelbagai kawasan bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati secara lebih meluas tanpa membebankan penganjur dengan kos yang tinggi.
Pada masa sama, perkembangan semasa industri getah negara menunjukkan betapa pentingnya penyampaian maklumat dan khidmat nasihat kepada pekebun kecil.
Laporan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia bagi Ogos 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pengeluaran getah asli negara meningkat 9.6 peratus kepada 29,510 tan metrik berbanding 26,926 tan metrik pada Julai lalu
Pekebun kecil kekal sebagai penyumbang utama industri dengan menyumbang 88 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran getah asli negara, manakala sektor estet menyumbang 12 peratus.
Namun begitu, industri berkenaan masih berdepan cabaran apabila pengeluaran getah asli mencatatkan penurunan 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, selain eksport getah asli yang susut 18.2 peratus kepada 33,426 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.
Dari sudut harga, purata harga bulanan lateks pekat menurun lima peratus kepada RM6.88 sekilogram, manakala harga getah sekerap mencatat peningkatan 4.2 peratus kepada RM7.85 sekilogram.
Perkembangan ini menonjolkan keperluan berterusan untuk memperkukuh penyampaian maklumat pasaran, khidmat nasihat teknikal serta penerangan berkaitan kemudahan agensi kepada komuniti komoditi agar mereka dapat menyesuaikan strategi dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
Program BBK diharap menjadi saluran komunikasi dua hala yang lebih efektif antara agensi dan masyarakat, sekali gus memperkukuh akses kepada perkhidmatan, membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan kesejahteraan komuniti yang bergantung kepada sektor komoditi sebagai sumber pendapatan utama.
Oleh Adi Safarman





