DUN: Lo Khere Chiang sokong Belanjawan Sarawak 2027, ketengahkan pembangunan Batu Kitang

Facebook
WhatsApp
DATO Lo Khere Chiang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 14 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang menyatakan sokongan terhadap Belanjawan Sarawak 2027 yang mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM15.091 bilion, perbelanjaan pembangunan RM10.098 bilion dan lebihan belanjawan RM246 juta.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan luar bandar sebanyak RM6.4 bilion mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas pembangunan kepada masyarakat di kampung, rumah panjang dan kawasan pedalaman.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini, beliau turut menekankan kepentingan bantuan kos sara hidup, pendidikan tinggi percuma serta pembangunan infrastruktur.

Lo berkata, Batu Kitang menerima peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM51.155 juta dari 2016 hingga 2026 bagi melaksanakan 1,629 projek dan pemasangan.

Projek berkenaan merangkumi 86 projek saliran dan pengairan, 50 projek jalan raya, 92 projek dewan masyarakat, 44 projek sekolah dan 43 projek bangunan keagamaan, selain pemasangan 1,200 lampu jalan.

Menurutnya, peruntukan itu turut membiayai kemudahan taman rekreasi, sukan, jambatan dan kemudahan penjaja yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Dalam aspek pendidikan, beliau menyambut baik peruntukan RM200 juta bagi meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak pada 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10,600 pelajar yang layak.

Beliau turut menyentuh bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) berjumlah RM650 juta, diskaun 25 peratus bagi bil elektrik domestik serta subsidi bil air sebanyak RM5 sebulan sebagai langkah membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.

Lo turut mengalu-alukan peruntukan awal RM20 juta bagi pembangunan Pusat Kanser Sarawak serta manfaat kesihatan untuk warga emas yang menyediakan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun kepada penerima yang layak.

Dalam aspek infrastruktur, beliau menekankan kepentingan pembangunan jalan raya dan jambatan, termasuk Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Batang Igan, Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Sungai Krian yang meningkatkan hubungan antara kawasan.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan negeri perlu disertai usaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, termasuk menerusi sokongan kepada rumah ibadat melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Lo berkata, kejayaan belanjawan perlu dinilai berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, termasuk peningkatan kemudahan asas, peluasan peluang pendidikan, bantuan kepada golongan yang memerlukan serta pembangunan ekonomi.

Oleh Shikin Mahmud