12 kenderaan disita dalam Ops Khas Motosikal dan Ops Luxury

Facebook
WhatsApp
ANTARA motosikal yang disita JPJ Sarawak dalam Ops Khas Motosikal di Kuching atas kesalahan melanggar peraturan jalan raya. Foto JPJ

KUCHING, 14 Oktober: Sebanyak 12 kenderaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam Ops Khas Motosikal dan Ops Luxury yang dijalankan di dua lokasi sekitar Kuching, semalam.

Operasi menerusi Unit Operasi JPJ Kuching itu dijalankan di Jalan Dato Haji Daud, kedua-dua hala dan Jalan Dato Mohd Musa dengan sebanyak 851 kenderaan pelbagai jenis diperiksa.

OPERASI penguatkuasaan JPJ Sarawak menerusi Ops Khas Motosikal dan Ops Luxury dijalankan di Jalan Dato Haji Daud dan Jalan Dato Mohd Musa. Foto JPJ

Daripada 12 kenderaan yang disita, lapan disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans tamat tempoh, manakala empat lagi atas kesalahan pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem.

Pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan lain, termasuk memandu tanpa lesen memandu yang sah, lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar serta kesalahan teknikal kenderaan.

JPJ Sarawak menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

ANTARA kenderaan mewah yang disita JPJ Sarawak dalam Ops Luxury di Kuching berikutan kesalahan pengubahsuaian secara ekstrem.  Foto JPJ

Orang ramai turut diingatkan supaya memastikan lesen memandu, LKM dan perlindungan insurans kenderaan sentiasa sah, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara melampau atau menyalahi undang-undang kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Oleh Afiq Sallehi