KUCHING, 14 Oktober: Cadangan projek Kereta Api Trans-Borneo menampilkan jajaran utama di Sarawak merentas kawasan penduduk utama, zon perindustrian dan pelabuhan laut utama di seluruh negeri, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata jajaran utama yang disyorkan itu secara umumnya merangkumi bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu serta Miri sebelum ke Brunei dan memasuki semula Sarawak melalui Limbang.
Beliau berkata kajian itu, yang mengesahkan projek mega oleh Kerajaan Persekutuan itu boleh dilaksanakan secara teknikal dan mempunyai kepentingan strategik, turut mencadangkan laluan ke pintu masuk ekonomi utama termasuk Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Tanjung Manis, Pelabuhan Bintulu, Pelabuhan Samalaju dan Pelabuhan Miri.
“Kajian mendapati Kereta Api Trans-Borneo boleh dilaksanakan secara teknikal dan penting secara strategik, dengan rangkaian yang dicadangkan bertujuan memperkukuh kesalinghubungan antara pusat populasi utama, kawasan perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan nod logistik di seluruh Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan (Indonesia),” katanya pada sesi soal jawab hari ini.
Dr Jerip menjawab soalan tambahan Datuk Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) mengenai cadangan laluan kereta api itu dan dapatan umum kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.
Beliau berkata bagi meningkatkan integrasi ekonomi serantau, kajian kebolehlaksanaan itu turut menggariskan potensi rangkaian kereta api ke Kalimantan.
“Bagaimanapun, mengambil kira skala rangkaian rentas sempadan itu, kajian kebolehlaksanaan itu mencadangkan pendekatan secara berfasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dan daya maju kewangan.
“Koridor keutamaan akan dikenal pasti berdasarkan permintaan tempatan, kepentingan strategik, impak pembangunan ekonomi, kemampuan, kapasiti fiskal, kesediaan pembangunan, keadaan tanah dan hak laluan serta ketersediaan pembiayaan,” katanya.
Kajian kebolehlaksanaan komprehensif yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) siap pada 7 Ogos dan dapatannya telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan sedang menilai laporan akhir itu, dengan fokus kepada tanggungjawab pembiayaan, tatakelola projek, keperluan tanah dan kerangka pelaksanaan yang bersesuaian. – Bernama





