DUN: 224 kanak-kanak lahir di Sarawak didaftarkan bukan warganegara

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah menjawab soalan Johnichal Rayong Ngipa (GPS-Engkilili) pada persidangan DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 14 Oktober: Seramai 224 kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara faktor utama ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan secara sah, ibu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan.

“Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 224 kanak-kanak yang lahir di Sarawak telah didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Johnichal Rayong Ngipa (GPS-Engkilili) pada persidangan DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata kelahiran di Sarawak wajib didaftarkan dengan JPN tanpa mengira status kewarganegaraan ibu bapa, namun kelahiran di Malaysia tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan kepada seseorang kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia masih boleh mendapat akses kepada pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, tertakluk kepada syarat dan prosedur Kementerian Pendidikan (KPM),” ujarnya. 

Sementara itu, usaha menangani isu berkenaan termasuk mengadakan dialog bersama komuniti dan kempen kesedaran bagi menggalakkan pendaftaran perkahwinan secara sah.

Fatimah berkata pengurusan dokumen pengenalan diri bagi ibu yang tidak mempunyai dokumen sah serta pengemaskinian dokumen perjalanan bagi ibu bukan warganegara turut diberi perhatian bagi memastikan dokumentasi kelahiran anak diuruskan mengikut prosedur ditetapkan.

Bagi kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan, pendaftaran mereka perlu diselaraskan dengan JPN dan pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan status serta dokumentasi mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Oleh Adele Rissa