KUCHING, 14 Oktober – Lions Club of Kuching Vintage memperkenalkan Inisiatif Bas Komuniti bagi memudahkan pergerakan warga emas, belia dan keluarga berpendapatan rendah di sekitar Kuching.
Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama PanBorneo Holiday Sdn. Bhd. itu bertujuan mengatasi kekangan pengangkutan, sekali gus membolehkan golongan berkenaan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Zaiedi Suhaili berkata, kemudahan pengangkutan yang mudah diakses penting bagi memastikan golongan memerlukan tidak tercicir daripada program komuniti.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan matlamat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk mewujudkan bandar mesra warga emas dan menyokong Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) UNICEF.
“Pengangkutan yang boleh diharapkan dapat mengurangkan halangan pengasingan sosial dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bas Komuniti di Foyer MBKS, di sini, pada 10 Oktober lalu.
Sementara itu, Gabenor Daerah Lions International District 308-A2, Dato Jimmy Tie berkata, kerjasama antara pertubuhan sukarelawan dan sektor korporat mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Bas komuniti berkenaan turut digunakan bagi memudahkan pergerakan sukarelawan menjalankan misi khidmat masyarakat di seluruh Sarawak.
Perancangan laluan bas akan mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang dengan mengambil kira lokasi seperti perpustakaan, pusat aktiviti dan taman awam.
Perkhidmatan bas komuniti itu dijadualkan bermula sejurus selepas pelancarannya.





