KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Selepas hampir 10 tahun tidak beraksi di pentas teater, pelakon dan pengarah tersohor Khir Rahman kembali ke gelanggang asal menerusi Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil yang akan dipentaskan di Istana Budaya bulan depan.
Khir, 53, atau nama sebenarnya Khairulizam Abdul Rahman, bakal menggalas watak sebagai Raja Rimba dalam pementasan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari di Panggung Sari bermula 13 November itu.
Menurut Khir, peluang kembali menerusi teater muzikal kanak-kanak mempunyai tarikan tersendiri kerana dekat dengan latar belakang seninya yang bermula di pentas, selain memenuhi keinginannya untuk mendekati generasi muda.
“Sebenarnya kalau orang yang mengikut saya dari dulu, dia tahu saya ini memang asalnya teater, asalnya pentas, daripada festival, pertandingan, apa semua, dari kecil, maknanya saya memang pentas, ini ibaratnya saya pulang balik ke gelangganglah.
“Cuma untuk saya pulang itu, saya suka sangat untuk pulang macam ini, untuk datang balik dengan teater kanak-kanak, ini memang permainan sayalah sebab saya dulu buat (teater) Uda dan Dara,” katanya kepada Bernama selepas sidang media pementasan itu, di sini baru-baru ini.

Mengimbas penglibatannya, Khir berkata pementasan terakhir yang disertainya ialah Semerah Padi di Istana Budaya kira-kira 10 tahun lepas sebelum kesibukan dan tawaran dalam bidang perfileman menyebabkan tumpuannya beralih daripada teater.
Bagi beliau, bekerja dengan pelakon cilik memberikan keseronokan tersendiri kerana dapat menyaksikan usaha mereka menghafal dialog dan menjalani latihan, selain menghargai peluang pendedahan awal kepada seni yang tidak dinikmatinya ketika bersekolah dahulu.
Sementara itu, pelakon cilik Ahmad Zaid Ahmad Zaha yang membawa watak Sang Kancil, berkata keberanian yang menjadi ciri-ciri watak tersebut memberikan dorongan kepadanya untuk lebih yakin bersuara meskipun bertubuh kecil.

“Sang Kancil ini walaupun dia kecil, dia berani, itu bagi saya macam motivasi sebab saya dikira kecil dalam sekolah saya, jadi saya nak jadi macam Sang Kancil, walaupun kecil, berani nak cakap, saya cubalah untuk jadi macam itu,” katanya.
Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, yang mula berteater pada hujung 2024, berkata pada pementasan kelimanya ini dia berdepan cabaran menjayakan banyak babak dengan masa rehat yang terhad di pentas.
Teater itu mengisahkan pengembaraan Sang Kancil bersama-sama dengan sahabat baharunya mencari jalan pulang, sambil menggunakan kebijaksanaan untuk membantu haiwan yang ditindas dan mempertahankan keluarganya daripada ancaman Taring.
Pengarah Produksi Istana Budaya Hanida Mohamed Yusof pula berkata pementasan berkonsepkan magika nusantara itu menggabungkan cerita rakyat Melayu dan Nusantara, muzik, tarian serta jenaka bagi mendekatkan generasi muda dengan seni persembahan dan warisan tempatan.

Beliau berkata produksi itu menampilkan 46 pelakon kanak-kanak serta 16 lagu baharu yang dimainkan secara langsung oleh 36 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia dan bahagian alat muzik bertali Orkestra Simfoni Kebangsaan.
“Kami percaya bahawa seni yang diperkenalkan sejak usia muda mampu membentuk apresiasi dan kecintaan terhadap seni serta budaya dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.
Kali terakhir Istana Budaya menerbitkan teater kanak-kanak ialah pada 2020 menerusi Siti di Alam Fantasi, namun pementasan berkenaan terpaksa dibatalkan ketika sesi pratonton susulan sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.
Pengembaraan Sang Kancil arahan Nawfal Zamri dengan skrip karya Siti Jasmina Ibrahim akan dipentaskan pada 13 November, 8.30 malam; 14 November, 2.30 petang dan 8.30 malam; serta 15 November, 2.30 petang, dengan kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke atas dibenarkan hadir menonton.
Orang ramai yang berminat boleh menempah tiket menerusi media sosial rasmi Istana Budaya atau mendapatkan maklumat lanjut di talian 03-4026 5555 atau e-mel info@istanabudaya.gov.my. – Bernama





