BINTANGOR, 14 Oktober: Kehadiran seekor ular tedung selar (Ophiophagus hannah) di belakang sebuah rumah di Jalan Tulai mencetuskan kebimbangan penghuni sebelum reptilia berbisa tersebut berjaya ditangkap oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular pada 3.27 petang, baru-baru ini.
“Empat anggota bomba diketuai oleh komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Bahani Bajuri, digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut.
“Setibanya di lokasi, didapati benar ada seekor ular tedung selar berada di belakang rumah pengadu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pasukan bomba memulakan operasi menangkap ular tedung selar pada 3.41 petang.
“Pasukan bomba bertindak menangkap ular tersebut menggunakan penjerut ular. Selepas ditangkap, ular dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya.
Tambahnya, operasi menangkap ular berkenaan berjaya diselesaikan dan ditamatkan sepenuhnya pada 3.57 petang.
Oleh Earl Anek




