KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Kerajaan telah meluluskan tiga projek pembinaan dan naik taraf kompleks serta pos imigresen di sempadan Sarawak-Kalimantan dengan kos keseluruhan RM172 juta, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, KDN memaklumkan projek berkenaan ialah menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian bernilai RM100 juta yang dijangka siap pada Januari 2029.
“Pembinaan Pos dan Kuarters Imigresen Serikin, Bau (RM50 juta) dijadual siap pada Disember 2027 serta pembinaan Pos dan Kuarters Telok Melano, Sematan (RM22 juta) dijangka siap pada Disember 2028,” menurut KDN bagi menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai peruntukan RM1 bilion yang dibelanjakan kerajaan untuk menaik taraf ICQS Sarawak.
KDN menjelaskan terdapat lima projek pembangunan sempadan Sarawak yang turut diluluskan di bawah peruntukan khas projek pembangunan sempadan seluruh negara berjumlah RM1 bilion.
Menurutnya, projek itu termasuk kerja menaik taraf dan pembaikan Kompleks ICQS Tedungan, Limbang bernilai RM5.4 juta yang dijangka siap pada Oktober 2027 serta ICQS Pandaruan, Limbang (RM1.8 juta) yang dijadual siap pada November 2026.
Sementara itu, KDN memaklumkan tarikh siap pembinaan Kompleks ICQS Serudong-Simanggaris dan Bantul-Lumbis di Sabah belum dapat ditetapkan.
Menurut KDN, pembinaan ICQS Bantul-Lumbis yang diluluskan dengan kos RM38.1 juta kini dalam proses perolehan, manakala pelaksanaan pembinaan ICQS Serudong-Simanggaris masih bergantung kepada keputusan penetapan titik sempadan pembangunan antara Malaysia dan Indonesia.
Bagi ICQS Bantul-Lumbis, iklan tender dibuat pada 26 Ogos lepas, manakala taklimat dan lawatan tapak dilaksanakan pada 8 September. Tempoh tender berlangsung dari 23 September hingga 21 Oktober, dengan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 23 Disember ini dan milik tapak pada 11 Januari 2027.
Kementerian itu berkata tarikh siap ICQS Bantul-Lumbis hanya dapat ditentukan selepas kontraktor dilantik dan tempoh pelaksanaan kerja ditetapkan dalam dokumen kontrak.
Bagi ICQS Serudong-Simanggaris, kerja awalan projek yang diluluskan dengan kos RM5 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), selesai dilaksanakan pada Oktober 2024.
Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia berhubung penetapan titik sempadan pembangunan masih berlangsung dan akan menentukan hala tuju serta perincian pelaksanaan projek seterusnya.
KDN turut menjelaskan angka RM819 juta bagi ICQS Serudong-Simanggaris dan RM367 juta bagi ICQS Bantul-Lumbis yang pernah diumumkan sebelum ini bukan jumlah perbelanjaan sebenar setakat ini.
Menurut kementerian itu, peruntukan dan perbelanjaan sebenar bagi setiap komponen projek akan mengambil kira kemajuan pelaksanaan serta proses perolehan yang telah dijalankan.- Bernama




