Kerajaan komited kawal harga barangan susulan kenaikan gaji minimum

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Kerajaan akan terus memperkukuh usaha menstabilkan harga barangan keperluan bagi menangani kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha itu termasuk memperketat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta melaksanakan program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.

“Kadar inflasi negara masih terkawal pada 1.7 peratus bagi suku pertama 2026 dan kira-kira 1.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

“Kita lihat juga inflasi makanan sekitar 1.4 peratus bagi Mei dan Jun serta 1.8 hingga 1.9 peratus bagi Julai dan Ogos,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 tidak menyebabkan pengurangan pekerjaan, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil.

Akmal berkata kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

“Bagi mengurangkan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perusahaan dengan hasil jualan di bawah RM50 juta akan diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan dan menyusun semula kedudukan kewangan.

“Langkah itu penting bagi memastikan majikan dapat meneruskan operasi tanpa mengambil tindakan drastik termasuk memberhentikan pekerja,” katanya.

Beliau berkata pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat penstrukturan semula syarikat susulan pelarasan gaji minimum dan dilindungi di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) layak menuntut faedah termasuk elaun mencari pekerjaan sehingga enam bulan.- Bernama