SARATOK, 12 Oktober: Tindakan dua lelaki tempatan mencuri kabel di tapak menara telekomunikasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Abu, Jalan Bajau, membawa padah apabila mereka ditahan polis ketika membakar kabel berkenaan untuk mendapatkan tembaga.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek berusia 43 dan 46 tahun itu ditahan oleh pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Pagan, hari ini.
Menurutnya, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat orang awam ketika kedua-dua suspek sedang membakar wayar kabel yang dipercayai dicuri dari tapak pencawang telekomunikasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memasuki kawasan pencawang melalui pintu pagar utama yang tidak berkunci pada semalam sebelum memotong beberapa kabel dan membawanya pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kemudian membawa kabel berkenaan ke ladang kelapa sawit di Kampung Pagan pada hari ini untuk membakarnya bagi mendapatkan tembaga yang terkandung di dalam wayar tersebut.
Bagaimanapun, mereka belum sempat menjual hasil curian itu sebelum diberkas pihak polis.
Kehilangan yang dilaporkan melibatkan tiga unit kabel kuasa DC RRU dengan anggaran panjang 20 meter serta tiga unit kabel gentian optik CPRI, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,950.
Polis turut merampas dua guni yang mengandungi beberapa potongan aluminium dan tembaga untuk membantu siasatan.
Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau masing-masing sebanyak tujuh dan 11 kes, manakala keputusan ujian air kencing kedua-duanya adalah negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menurut maklumat laporan polis.
Polis memaklumkan kes berkenaan telah selesai susulan penahanan kedua-dua suspek.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan awam.
Oleh Adi Safarman



