KUALA LUMPUR: Malaysia ketika ini berada di landasan untuk meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sementara menunggu mandat terperinci dan jelas daripada Kabinet, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pengarah Kanan Bahagian Rundingan Strategik MITI, Arividya Arimuthu berkata, pentadbiran sekarang telah menjelaskan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar yang mesra perdagangan dan perniagaan dan terbuka kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang saling memberi manfaat.
“Garis masa sasaran kami adalah untuk mendapatkan arahan Kabinet mengenai hala tuju kita berkaitan CPTPP menjelang penghujung tahun ini, tetapi jika tidak, kami menyasarkan suku pertama 2022.
“Banyak perkara yang perlu disediakan sebelum kami boleh mengusulkan kepada Kabinet; terdapat analisis kos dan manfaat yang telah dijalankan yang sepatutnya dapat membantu kami memahami kos dan manfaat berkaitan dengan CPTPP.
“Kami juga mengadakan perundingan dengan pemegang kepentingan dan kita ada pelbagai kementerian yang berusaha untuk meminda undang-undang relevan di bawah bidang kuasa mereka,” katanya dalam satu webinar yang dianjurkan oleh Institut bagi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), semalam.
Arimuthu berkata selepas Kabinet memberikan kelulusannya untuk Malaysia meratifikasikan CPTPP, satu instrumen ratifikasi akan diserahkan kepada depositori CPTPP iaitu New Zealand, untuk memaklumkan kepada anggotanya bahawa Malaysia kini bersedia untuk melaksanakan perjanjian tersebut.
“Sebaik sahaja selesai, CPTPP akan berkuat kuasa 60 hari selepas serahan instrumen ratifikasi itu,” katanya.
CPTPP adalah perjanjian perdagangan berkualiti tinggi yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya dan 11 negara telah memeterai perjanjian itu termasuk Malaysia.
Bagaimanapun setakat ini, hanya tujuh negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam telah meratifikasikan CPTPP.
CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan.
Menurut Arimuthu, Malaysia kekal sebagai negara penandatangan bersama-sama dengan Brunei dan Chile, tidak menikmati kadar tarif keutamaan yang ditawarkan dalam perjanjian itu dan tidak boleh menghalang sebarang konsensus yang dibuat oleh semua pihak yang terlibat.
“United Kingdom (UK) telah memulakan proses terimaan formal kepada CPTPP dan sebagai penandatangan, Malaysia tidak dapat menghalang sebarang keputusan yang dibuat oleh negara-negara yang telah meratifikasikan CPTPP.
“Sudah tentunya bukan sifat perunding Malaysia untuk menghalang keputusan, kita akan mengalu-alukan penyertaan UK, tetapi akan ada impak bagi kita dan batasan dari segi peranan yang akan dimainkan Malaysia dan berkaitan dengan rundingan akses pasaran dengan UK,” katanya.
Arimuthu berkata, CPTPP adalah perjanjian yang melangkaui bukan sekadar mengurangkan tarif kerana ia melibatkan pasaran bersepadu dengan sejumlah 500 juta populasi dan gabungan pengeluaran sebanyak AS$10 trilion (AS$1=RM4.15) yang mewakili 13.5 peratus daripada ekonomi dunia.
“Semua ini akan berkembang sebaik sahaja UK menyertai CPTPP dan ia akan menyediakan peluang akses pasaran kepada bukan sahaja 11 negara tetapi banyak lagi negara dan ia sesuatu yang perlu diambil kira oleh Malaysia,” katanya.- Bernama