KUCHING: Jangkitan Covid-19 di Sarawak kelihatan meningkat namun tidaklah begitu serius.
Demikian pandangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas pelancaran vaksinasi untuk remaja berumur di bawah 18 tahun di Klinik Kesihatan Telaga Air semalam.
Katanya, angka harian yang dilihat dalam beberapa hari kebelakangan ini kebanyakannya dari kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala.
“Saya hendak tekankan di sini, kalau tidak ada vaksinasi mungkin keadaannya berlainan. Anda harus faham, apabila sudah divaksinasikan mereka ada ‘kuasa’ untuk melawan balik melalui vaksinasi.
“Apa yang kita ada hari ini adalah ringan iaitu kategori 1 dan 2 sebab ia tidak bergejala. Saya ingin nyatakan di sini bahawa mengikut pakar, kalau kita lihat sejarah kolera, Sindrom Pernafasan Akut (SAR) dan Demam Babi Afrika, memang keadaan demikian. Apabila sudah ada tahap untuk melawan ia akan membawa ke satu peringkat yang disebut endemik, maknanya kita hidup dengan virus tetapi kita ada ketahanan dalam diri untuk menghadapi virus ini,” katanya.
Mengenai pelaksanaan program imunisasi Covid-19 di kalangan remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun di Klinik Kesihatan Telaga Air, Abang Johari mengucapkan terima kasih kerana program tersebut mendapat sambutan yang baik dari masyarakat di kawasan berkenaan.
“Saya rasa wakil rakyat telah memberi nasihat kepada masyarakat di sini dan saya rasa semua wakil rakyat kita akan memberi penerangan seperti ini di kawasan-kawasan lain.
“Untuk pemberian vaksin ini, kita masih guna pakai sistem yang sedia ada dan yang bezanya ialah ibu bapa harus bersama dengan anak mereka kerana mereka yang akan memberi izin untuk divaksin,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO