MAPSU harap isu kekurangan petugas kesihatan terus ditangani

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN MAPSU, Ajulahin Japin.

KUALA LUMPUR, 10 Oktober: Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (MAPSU) berharap kerajaan terus menangani isu kekurangan tenaga kerja dan beban tugas dalam sektor kesihatan, selain memperkukuh kebajikan petugas, khususnya yang berkhidmat di kawasan pedalaman.

Presidennya, Ajulahin Japin berkata, penambahbaikan elaun dan insentif, penyediaan kemudahan tempat kerja yang lebih baik serta perhatian terhadap cabaran yang dihadapi petugas di kawasan pedalaman penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

“Pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen mereka bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi, malah membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Kami berharap pendekatan yang mengutamakan kebajikan petugas kesihatan ini akan diteruskan secara berterusan,” katanya ketika mengalu-alukan pengumuman beberapa inisiatif kebajikan untuk penjawat awam, khususnya petugas kesihatan, menerusi Belanjawan 2027.

Antara inisiatif yang diumumkan ialah kenaikan Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan bagi jururawat dan paramedik yang layak, selain peningkatan insentif Petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.

Ajulahin berkata, peningkatan insentif itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kemahiran khusus dan tanggungjawab petugas kesihatan, termasuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang berdepan cabaran perjalanan serta logistik. – Bernama