SARATOK, 10 Oktober: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya memusnahkan sarang tebuan tanah sebesar bola keranjang dalam operasi di Taman Muhibbah, Saratok, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.30 petang, yang memaklumkan kewujudan sarang tebuan di atas pokok berhampiran sebuah kedai milik pengadu.
Menurutnya, susulan aduan itu, seramai tiga anggota Skuad Alpha digerakkan ke lokasi pada 7.38 malam dan tiba tiga minit kemudian bagi menjalankan operasi pemusnahan sarang berkenaan.
“Ketua Skuad, Prebet Asfa Faziana Abdullah terlebih dahulu memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat sebelum operasi dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sarang tebuan berkenaan berjaya dimusnahkan menggunakan teknik pembakaran dengan bantuan orang awam yang menyediakan kemudahan skylift bagi memudahkan anggota mencapai sarang di atas pokok.
Operasi tersebut melibatkan tiga anggota, iaitu Prebet Asfa Faziana Abdullah, Prebet Jeffery Kedit Kayan dan Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian.
Operasi yang bermula selepas ketibaan anggota pada 7.41 malam itu selesai sepenuhnya pada 8.43 malam tanpa sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini dilaporkan.
APM Saratok turut menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada apabila menemui sarang tebuan atau serangga berbisa di kawasan kediaman dan premis perniagaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba memusnahkan sarang berkenaan sendiri, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko disengat atau kecederaan.
Oleh Adi Safarman



