SPAOH, 10 Oktober: Seramai 46 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima manfaat menerusi pengagihan 4,000 ekor anak ayam kacukan bagi membuka peluang menjana pendapatan melalui perusahaan penternakan.
Bantuan yang dilaksanakan menerusi dua program berasingan itu menyaksikan sebanyak 2,000 ekor anak ayam diagihkan kepada 41 penerima pada 2 Oktober lalu, manakala 2,000 ekor lagi diserahkan kepada lima penerima semalam.
Kedua-dua program berlangsung di Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dan diselaraskan oleh pegawai pusat khidmat berkenaan, Edward Unchat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berharap setiap penerima memanfaatkan bantuan tersebut sebaik-baiknya bagi membangunkan perusahaan penternakan secara berperingkat.
“Saya berharap setiap penerima memanfaatkan bantuan ini dengan sebaik-baiknya.
“Jika diusahakan secara tekun dan konsisten, perusahaan yang bermula secara kecil-kecilan ini mampu berkembang menjadi sumber pendapatan yang memberi manfaat kepada keluarga,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pembangunan industri ayam kacukan di kawasan itu perlu melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran, bermula daripada pembangunan baka anak ayam dan aktiviti penternakan sehingga proses pemprosesan serta pemasaran.
Katanya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi meningkatkan nilai hasil, memperluas peluang perniagaan dan memastikan penternak tempatan memperoleh pulangan yang lebih baik.
Uggah sebelum ini menyuarakan hasrat untuk menjadikan Bukit Saban sebagai antara pembekal utama ayam kacukan di Sarawak dengan membangunkan ekosistem industri yang lebih lengkap dan mampan.
Sehubungan itu, cadangan pembinaan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam Bahagian Betong kini sedang diteliti bersama agensi berkaitan bagi melengkapkan rantaian industri serta menyokong perkembangan sektor penternakan ayam kacukan di kawasan berkenaan.
Sejak 2023, program bantuan anak ayam di DUN Bukit Saban telah memberi manfaat kepada hampir 1,200 penerima menerusi pengagihan hampir 60,000 ekor anak ayam dengan sokongan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Inisiatif berterusan itu bukan sahaja membuka peluang kepada penduduk luar bandar untuk menambah pendapatan keluarga, malah menjadi asas penting dalam usaha membangunkan Bukit Saban sebagai kawasan yang berpotensi dalam industri penternakan ayam kacukan di Sarawak.
Oleh Adi Safarman



