SPAOH, 10 Oktober: Kemudahan lebih selesa dan ruang parkir lebih teratur kini dinikmati penduduk Rumah Panjang Lubok Kelampu, Ulu Paku, susulan siapnya projek naik taraf dataran kejat menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta disiapkan mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penglibatan penduduk dalam pelaksanaan projek berkenaan membuktikan semangat muafakat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
Beliau berkata, kerjasama antara penduduk bukan sahaja membantu menjayakan projek, malah mengukuhkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Apabila penduduk berganding bahu menjayakan sesuatu projek, usaha pembangunan bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, malah semangat kebersamaan dalam komuniti turut diperkukuh.
“Kerjasama seperti ini perlu terus dipupuk demi kemajuan kawasan setempat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban.
Menurut Uggah, dataran kejat yang dinaik taraf itu menyediakan ruang lebih teratur untuk kegunaan penduduk, termasuk sebagai tempat meletakkan kenderaan bagi pengunjung yang datang ke rumah panjang berkenaan.
Beliau berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meningkatkan keselesaan penduduk, di samping memudahkan urusan harian serta kunjungan tetamu.
Sesi serah siap projek yang berlangsung semalam turut dihadiri wakil JPS Bahagian Betong, Rosli Tila; wakil Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Dalcia Cheria; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta penduduk rumah panjang berkenaan.
Tuai Rumah Jame Unggot bersama penduduk turut merakamkan penghargaan kepada Uggah dan kerajaan Sarawak atas peruntukan yang membolehkan projek berkenaan direalisasikan.
Projek itu memperlihatkan kepentingan kerjasama kerajaan dan komuniti dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman



