SIBU, 10 Oktober: Penganjuran Konsert Karnival Sibu Jaya 2026 yang dijadualkan berlangsung tahun ini ditunda ke 2027 berikutan ketidaktentuan keadaan jerebu rentas sempadan di Sarawak.
Pihak penganjur dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan orang ramai, khususnya pengunjung serta peserta yang bakal menghadiri acara berskala besar tersebut.
Menurut kenyataan itu, meskipun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak menunjukkan tanda-tanda peningkatan sejak beberapa hari kebelakangan ini, keadaan jerebu masih tidak menentu.
“Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Oktober lalu melaporkan bahawa fenomena ‘Super El Nino’ yang sedang berlaku dijangka semakin kuat dan mencapai kemuncaknya pada Disember 2026.
“Fenomena itu juga dilaporkan hampir pasti berterusan sehingga Februari 2027,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, penganjur berpandangan bahawa penganjuran acara luar berskala besar dalam keadaan cuaca sedemikian berpotensi menjejaskan keselamatan, keselesaan serta pengalaman keseluruhan pengunjung dan peserta.
Katanya, walaupun kecewa kerana terpaksa mengeluarkan Konsert Karnival Sibu Jaya daripada kalendar acara 2026, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, tetamu serta petugas tetap menjadi keutamaan.
“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah, namun keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kerjasama, artis serta orang ramai atas sokongan berterusan terhadap penganjuran acara berkenaan.
Penganjur turut berharap dapat mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Konsert Karnival Sibu Jaya pada 2027 dengan pengalaman penganjuran yang lebih menarik dan dipertingkatkan.
Oleh Akun Giman




