Dua pemandu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di Padawan

Facebook
WhatsApp
OPERASI TRAFIK… Anggota polis IPD Padawan menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dalam operasi keselamatan jalan raya di Jalan Penrissen, Batu 6, awal pagi tadi.

PADAWAN, 10 Oktober: Dua pemandu ditahan selepas didapati memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan dalam operasi keselamatan jalan raya di Jalan Penrissen, Batu 6, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan itu turut menyaksikan 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Menurutnya, operasi yang berlangsung dari 11.00 malam hingga 5.30 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 62 kenderaan dan 64 individu.

“Dua pemandu didapati positif alkohol dengan bacaan melebihi had yang ditetapkan undang-undang,” katanya.

Barry berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 31 tahun dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk menjalani ujian pernafasan menggunakan alat EBA II.

PENGUATKUASAAN… Sebanyak 62 kenderaan dan 64 individu diperiksa dalam operasi trafik IPD Padawan yang turut menyaksikan 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, seorang penunggang motosikal berusia 30 tahun mencatatkan bacaan awal SD2+ sebanyak 290 miligram (mg) alkohol bagi setiap 100 mililiter (ml), manakala ujian EBA II merekodkan bacaan 147 mg bagi setiap 100 ml.

Seorang lagi suspek, iaitu pemandu kereta berusia 31 tahun, pula mencatatkan bacaan awal SD2+ sebanyak 164 mg bagi setiap 100 ml, diikuti bacaan EBA II sebanyak 78 mg bagi setiap 100 ml.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, seperti yang dipinda pada 2020, kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan.

Sementara itu, Barry berkata, sebanyak 52 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos, penggunaan lampu menyilaukan, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan memandu tanpa lesen.

Kesalahan lain termasuk cukai jalan tamat tempoh dan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan seorang pegawai kanan polis, 10 anggota polis dan seorang anggota Sukarelawan Polis.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan membanteras perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol, selain memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Oleh Connie Chieng