Lima mangsa nahas helikopter Long Lellang terima Pegawai Bintang Sarawak sempena ulang tahun ke-80 TYT

Facebook
WhatsApp
LIMA mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, menerima Darjah Kebesaran Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka kepada masyarakat pedalaman.

KUCHING, 10 Oktober: Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mereka ialah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Alexon Adit Henry, mendiang Debra Moset dan mendiang Jessie Paya Jok.

Kesemua mereka disenaraikan dalam Senarai Rasmi Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang dikeluarkan sempena sambutan berkenaan.

Kapten Zainol Afiq merupakan juruterbang helikopter, manakala empat lagi mangsa ialah petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.

Nahas pada 8 September lalu mengorbankan kesemua lima individu ketika helikopter jenis BO-105 yang menjalankan operasi FDS terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.

Ketika kejadian, mereka sedang menjalankan tugasan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang berdepan cabaran akses kepada kemudahan perubatan.

Susulan tragedi itu, kerajaan Sarawak turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa bagi membantu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga.

Kerajaan Sarawak turut bersetuju menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah menerusi Yayasan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, turut menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu pendidikan anak-anak mangsa, termasuk anak perempuan mendiang Debra yang bercita-cita menjadi doktor.

Pengiktirafan menerusi P.B.S. itu menyusuli penghargaan terhadap khidmat lima individu berkenaan dalam melaksanakan tugas, khususnya bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Oleh Afiq Sallehi