Belanjawan 2027: Peruntukan lebih RM130 juta perkasa industri karya kreatif

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Lebih RM130 juta diperuntukkan untuk terus memperkasakan industri karya kreatif dalam mengangkat citra negara, mencipta pekerjaan dan membawa kisah Malaysia ke pentas antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu disediakan bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif

“Hal ini termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya kita dan kenegaraan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata mulai 2027, tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan dikecualikan sepenuhnya daripada dikenakan duti hiburan.

“Kita menyeru supaya kerajaan negeri mengambil langkah serupa bagi menggalakkan pengkarya tempatan,” kata beliau.

Anwar berkata ekosistem animasi tempatan diperkukuh untuk melahirkan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), bahasa Melayu mesti segera maju seiring dengan kecanggihan teknologi. Kerajaan akan menggembleng seluruh kekuatan kementerian, agensi dan institusi pendidikan supaya dapat menyumbang data bahasa digital yang sahih dan beranotasi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata pembangunan ekosistem digital adalah mustahak bagi memastikan Malaysia berupaya membina teknologi AI sendiri berteraskan identiti kebangsaan. – Bernama