PETALING JAYA, 9 Oktober: Berbekalkan dedikasi dan komitmen jitu seluruh pasukan, pengarah teater popular Puan Seri Tiara Jacquelina menjanjikan persembahan terbaik dalam pementasan semula teater ikonik Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) 2026.
Pementasan berskala besar itu dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November ini di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City.
Tiara berkata beliau sendiri akan menilai serta memastikan kualiti persembahan berada pada tahap tertinggi sebelum dipersembahkan kepada khalayak.

“Sebenarnya saya lebih cerewet daripada mana-mana penonton di dunia. Saya tidak akan pentaskan persembahan Puteri Gunung Ledang ini sehingga betul-betul sempurna, dan sehingga saya yakin tiada persembahan lain di Malaysia yang boleh jadi lebih bagus daripadanya. Itu janji saya,” katanya kepada pemberita pada PGL – Exclusive Media Session di sini, semalam.
Beliau berkata semangat itu turut dipamerkan barisan pelakon khususnya pemegang watak-watak Majapahit yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk terbang ke Solo, Indonesia demi mendalami kebudayaan purba berkenaan dengan lebih berkesan.
“Langkah ini mereka ambil atas inisiatif sendiri tanpa bergantung pada produksi, meskipun pihak pengurusan sebelum ini sudahpun membawakan tenaga pengajar khas dari wilayah berkenaan ke Malaysia bagi memastikan setiap aspek tarian, falsafah dan sebutan abjad Jawa disampaikan secara sempurna,” katanya.
Pelakon Wanita Terbaik Asia-Pacific Film Festival 2025 itu turut memuji tahap kualiti persediaan tenaga kerja dan yakin sekiranya tirai pementasan dibuka seawal esok, kesemua pelakon sudah bersedia sepenuhnya.
Dalam pada itu, bagi memastikan persembahan kelihatan “hidup”, kesemua 50 pelakon di atas pentas diberikan peranan serta watak khusus tanpa istilah “sekadar penari latar”.
“Untuk pementasan kali ini, tiada seorang pun pelakon atas pentas yang sekadar penari latar atau berdiri kosong di belakang. Kesemua 50 orang pelakon kita diberikan nama, peranan khusus dan latar belakang watak masing-masing supaya setiap babak kelihatan benar-benar hidup dan bernyawa,” katanya.
PGL 2026 bakal menyaksikan gandingan julung kali penyanyi Aisha Retno dan pelakon Mila Mohsin selaku Gusti Putri Retno Dumilah, watak Hang Tuah digalas oleh penyanyi dan pelakon Aqasha, selain selebriti Mimi Fly dan Nadia Aqilah bagi watak Bayan, Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka serta Yusuf Hashim memegang watak Gusti Adipati.
Mendedahkan kos pementasan berskala besar mencecah jutaan ringgit, Tiara bagaimanapun yakin setiap sen yang dibelanjakan akan menerima pulangan setimpal selepas 23,000 tiket habis dijual dalam tempoh dua jam.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang mencari ruang untuk membawa PGL 2026 ke Singapura.

Sementara itu, pelakon Aqasha menyifatkan peranannya sebagai Hang Tuah kali ini hadir dengan dimensi berbeza berbanding pengalamannya sebagai pelakon pengganti 20 tahun lepas.
Aktor berusia 44 tahun itu berkata ketika memegang watak sama pada usia 24 tahun, tumpuannya lebih kepada aspek fizikal dan lontaran vokal semata-mata.
“Sekarang saya merasakan watak Hang Tuah mempunyai dimensi yang lebih lebar dan dalam. Penelitian saya lebih berat kepada makna serta maksud kesetiaan kepada Sultan dan juga cinta peribadinya,” katanya.
Aqasha berkata bagi memenuhi tuntutan fizikal seperti bersilat, menari dan menyanyi secara serentak, beliau mengambil inisiatif berlatih di gimnasium selain mengamalkan pengambilan herba dan madu bagi mengekalkan stamina sepanjang tempoh pementasan.
Menyifatkan kemunculannya kali ini sebagai ‘versi kompilasi’ yang menggabungkan nama-nama besar yang pernah memegang watak itu seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk M. Nasir dan Datuk Jamal Abdillah, Aqasha berkata setiap pelakon mengikut acuannya tersendiri.- Bernama





