DARO, 9 Oktober: Perkhidmatan feri yang tidak lagi diperlukan selepas Jambatan Batang Paloh dibuka kepada orang ramai pada 30 Oktober ini wajar dipindahkan ke kawasan lain di Sarawak yang masih memerlukan kemudahan berkenaan.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, perkhidmatan feri tidak seharusnya ditamatkan begitu sahaja kerana masih terdapat kawasan yang belum mempunyai kemudahan jalan raya dan jambatan.
Menurutnya, Kampung Paloh antara kawasan yang masih memerlukan perkhidmatan feri memandangkan usaha mendapatkan kemudahan jalan raya dan jambatan di kawasan itu belum selesai.
“Pembukaan Jambatan Batang Paloh bakal membawa perubahan besar kepada penduduk Pulau Bruit apabila mereka tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menghubungkan kawasan itu dengan tanah besar.
“Pulau yang selama ini kita anggap sebagai pulau kini mempunyai hubungan jalan raya, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan urusan harian mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh di sini, petang semalam.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Yusuf berharap kemudahan perhubungan baharu itu dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi penduduk Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya, selain memudahkan urusan membawa hasil pertanian dan perikanan ke pasaran.
Beliau menegaskan, kemudahan jeti dan tanjakan feri sedia ada perlu terus diselenggara dengan baik walaupun perkhidmatan feri tidak lagi beroperasi di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan itu masih boleh digunakan bagi tujuan pemantauan struktur jambatan serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika berlaku kecemasan di sungai.
“Jika berlaku kecemasan, kemudahan tanjakan itu memudahkan bot bomba, bot penyelamat dan peralatan berkaitan diturunkan ke sungai untuk menjalankan operasi menyelamat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor, perunding serta semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan jambatan berkenaan, termasuk petugas feri yang selama ini memberikan perkhidmatan kepada penduduk.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Moris serta ketua masyarakat ketua kaum (KMKK) Matu Daro.
Oleh Akun Giman




