PERTEMBUNGAN kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 zon Amerika Selatan antara Brazil dengan Argentina secara sensasi digantung sejurus bermula pada Isnin ketika kontroversi mengenai protokol Covid-19 meletus.
Di tengah situasi luar biasa di Neo Quimica Arena di Sao Paulo, perlawanan antara dua gergasi bola sepak Amerika Selatan dihentikan apabila pegawai kesihatan Brazil berlari masuk ke padang, mencetuskan huru-hara yang melibatkan pegawai pasukan dan pemain daripada kedua-dua pasukan.
Campur tangan yang menakjubkan itu berlaku hanya beberapa jam setelah pihak berkuasa kesihatan Brazil berkata empat pemain yang berpangkalan di England dalam skuad Argentina harus ditempatkan dalam ‘kuarantin segera’ kerana melanggar protokol Covid-19.
Menurut Badan Pengawasan Kesihatan Nasional Brazil (ANVISA), pemain yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, Giovani Lo Celso (Tottenham), Emiliano Martinez (Aston Villa), Emiliano Buendia (Aston Villa) dan Cristian Romero (Tottenham) memberi ‘maklumat palsu’ ketika mereka masuk ke Brazil .
Romero, Lo Celso dan Martinez berada dalam kesebelasan utama Argentina yang memulakan permainan semalam – mendorong campur tangan nyata pegawai ANVISA.
Keempat pemain tersebut dituduh gagal mengisytiharkan bahawa mereka telah menghabiskan masa di United Kingdom dalam 14 hari sebelum kedatangan mereka di Brazil, di mana Covid-19 telah meragut lebih daripada 580,000 nyawa.
Kapten Argentina, Lionel Messi dan rakan sepasukannya meninggalkan padang ketika kebingungan mengatasi nasib permainan.
Messi kemudian membidas dengan campur tangan pegawai Brazil.
“Kami sudah tiga hari di sini, mengapa kamu melakukan ini sekarang?” katanya di rangkaian TyC Argentina.
Jurulatih Argentina Lionel Scaloni juga marah, berkata kepada media bahwa “kami tidak pernah diberitahu bahawa mereka tidak dapat bermain dalam perlawanan ini.”
Argentina dijadualkan terbang kembali ke Buenos Aires lewat semalam denfgan penerbangan sewa khas.
Presiden Persatuan Bolasepak Argentina, Claudio Tapia berkata persekutuan telah mengikuti protokol FIFA untuk perlawanan itu, menolak tuntutan bahawa pemain telah memalsukan rekod kemasukan ke Brazil.
“Tidak mungkin untuk berckap bohong,” kata Tapia. – AFP